Friday, 3 January 2014

Peringkat Penurunan Al Qur'an


Para ulama telah berselisih pendapat mengenai penurunan al-Quran. Namun demikian kita akan menerima dan membincangkan bahawa al-Quran diturunkan melalui tiga peringkat iaitu:

Peringkat pertama : Penurunan al-Quran dari Allah SWT ke Luh Mahfuz iaitu satu-satunya tempat yang termulia yang terkumpul di dalamnya segala ketentuan Allah untuk semua makhluk-Nya. Ini terbukti dengan firman Allah SWT:
Maksudnya : “Bahkan ia al-Quran yang mulia. Di papan yang terpelihara (Luh Mahfuz)”  (Surah al-Buruj:21-22)
Hikmah Penurunan al-Quran peringkat pertama : merupakan kemuliaan bagi al-Quran itu sendiri kerana tempat tersebut merupakan semulia-mulia tempat di sisi Allah. Peringkat ini juga perlu kerana peringkat itu menyempurnakan kewujudan Luh Mahfuz iaitu tempat bagi segala perancangan yang wujud di alam ini dan al-Quran adalah termasuk di dalam perancangan Allah ke dunia ini. Penurunan peringkat ini adalah secara sekaligus.

Peringkat kedua : Penurunan peringkat ini ialah penurunan al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia. Bukti adanya peringkat penurunan ini ialah firman Allah SWT:
 Maksudnya : “Sesungguhnya Kami turunkan Al Quran pada
malam Lailatul Qadar" (Surah Al-Qadar: 1)
Begitu juga dengan firman Allah dalam ayat berikut :
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami menurunkan ia pada malam yang berkat, sesungguhnya Kami pemberi peringatan kepada manusia.” (Surah ad-Dukhan:3)

Dalam firman Allah yang lain di dalam ayat yang berikut :
Maksudnya : “Bulan (puasa) yang diturunkan di dalamnya al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia dan beberapa keterangan dari petunjuk itu dan membezakan antara yang hak dan yang batil.”  (Surah al-Baqarah:185)
Penurunan peringkat ini adalah masih dalam keadaan sekaligus. Ini dapat dilihat dari hadith yang telah diriwayatkan :

Maksudnya : “ Diturunkan al-Quran ke langit dunia dalam jumlah sekaligus pada malam Lailatul Qadar kemudian diturunkan sesudah itu selama dua puluh tahun”
Walaupun begitu terdapat juga beberapa pendapat ulama’ yang tidak berapa kuat mengatakan bahawa penurunan tersebut adalah berperingkat-peringkat. 

Antaranya :
  • Diturunkan al-Quran pada peringkat ini selama 23, 24 atau 25 malam Lailatul Qadar.
  • Diturunkan al-Quran buat kali pertama pada malam lailatul Qadar dan seterusnya secara berperingkat-peringkat.
  • Diturunkan oleh Malaikat Hafazah kepada Malaikat Jibril a.s dalam jangka masa 24 malam.


Peringkat ketiga : Iaitu peringkat penurunan dari Baitul Izzah ke dada Rasulullah SAW secara beransur-ansur selama 22,23,24 atau 25 tahun mengikut perselisihan pendapat para ulama’. Dalil bagi peringkat ini adalah firman Allah dalam ayat yang berikut :


Maksudnya : “Al-Quran ini Kami turunkan secara beransur-ansur supaya engkau bacakan kepada manusia dengan cara perlahan-lahan dan Kami turunkannya sedikit-sedikit.”  (Surah al-Isra’:106)

Firman Allah lagi dalam al-Quran :
Maksudnya : “Diturunkan oleh Roh Suci (Jibril a.s). Ke dalam hati engkau (Ya Muhammad) supaya engkau memberi peringatan.”  (Surah as-Syu’ara:194)

Begitu juga firman Allah dalam ayat yang berikut :
Maksudnya : “Kami turunkan kepada engkau (Ya Muhammad) Kitab (al-Quran) untuk menerangkan bagi tiap-tiap sesuatu dan menjadi petunjuk dan rahmat serta khabar gembira bagi orang islam.” (Surah an-Nahl:89)

Hikmah diturunkan al-Quran berperingkat-peringkat :Sesungguhnya terdapat banyak hikmah mengapa Allah menurunkan al-Quran secara berperingkat-peringkat:

  1. Peringkat-peringkat tersebut dapat membezakan Kitab al-Quran dengan Kitab-kitab Allah terdahulu. Al-Quran diturunkan secara berperingkat-peringkat sementara yang lain secara sekaligus.
  2. Peringkat-peringkat tersebut dapat mengagungkan Kitab al-Quran iaitu kedatangannya disebar kepada seluruh penghuni alam dari langit sampailah ke bumi.
  3. Peringkat-peringkat tersebut sesungguhnya bertujuan untuk menambahkan keyakinan kepada seluruh makhluk penghuni semua penjuru alam bahawa al-Quran sebagai kitab yang terakhir itu adalah dari Allah dan bukan ciptaan Nabi Muhammad atau sebagainya.
  4. Penurunan secara yang demikian sesungguhnya juga memuliakan kerasulan junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w sebagai penyudah dan Penghulu segala Nabi.
  5. Al-Quran tidak diturunkan sekaligus tetapi diturunkan secara beransur-ansur agar hati Nabi Muhammad SAW menjadi kuat dan tetap. 
Al-Quran terbukti diturunkan untuk menjadi petunjuk dan hidayah yang mengubah masyarakat Jahiliyah yang buruk kepada umat Islam yang berbudi pekerti mulia dan mampu mengubah alam. Maka sesungguhnya al-Quran itu adalah hidayah dan rahmat bagi sekalian alam.

Sunday, 11 December 2011

Allah Berhak Memberikan Hidayah Kepada Siapa Sahaja Yang Dikehendaki

ALLAH berfirman yang bermaksud:
“Sesiapa yang Allah kehendaki mendapat hidayah nescaya dilapangkan dadanya untuk menerima Islam dan sesiapa yang dikehendaki sesat nescaya dijadikan dadanya sempit dan sesak seolah-seolah naik ke langit. Demikianlah Allah menimpakan kehinaan kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125).

Allah Maha Berkuasa untuk mengurniakan petunjuk dan hidayah-Nya kepada yang dikehendaki-Nya. Hanya dengan petunjuk dan hidayah Allah saja dapat mengubah manusia dan kehidupannya dari kekufuran kepada keimanan, kemaksiatan kepada ketakwaan, kezaliman kepada keadilan, kegelapan kepada cahaya kebenaran dan kegelisahan kepada ketenangan jiwa.

Hidayah itu ialah petunjuk yang dikurniakan Allah kepada manusia untuk mencapai kesejahteraan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Islam menganjurkan umatnya supaya sentiasa memohon hidayah petunjuk daripada Allah ke arah jalan yang benar.

Lebih-lebih lagi perjalanan hidup berliku yang ditempuhi setiap insan menuntut ketabahan, kesabaran dan pertolongan Ilahi supaya dia berjaya dalam hidup. Oleh itu, Islam mensyariatkan amalan berdoa dan memohon petunjuk daripada Allah.

Hidayah petunjuk yang dianugerahkan Allah sebenarnya tidak boleh diukur berdasarkan keadaan lahiriah semata-mata. Sebaliknya, ia bergantung kepada keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh dalam jiwa. Dalam erti kata lain, Allah mengurniakan hidayah kepada hamba yang beriman dan bertakwa.

Hidayah Allah tidak ada kaitan dengan hubungan pertalian darah atau kekeluargaan. Seseorang yang taat dan hidup bahagia dengan hidayah Allah, tidak semestinya anaknya juga begitu. Contohnya, Nabi Nuh dan anaknya serta Nabi Muhammad SAW dengan bapa saudaranya, Abu Lahab.

Ada juga orang fasik yang sentiasa bergelumang dosa tetapi anaknya seorang yang salih dan patuh ajaran Islam. Ini berlaku kepada Nabi Ibrahim dengan ayahnya, pengukir patung berhala.
Oleh sebab itu, kita tidak boleh menyangka orang yang selalu melakukan kejahatan tidak akan mendapat hidayah Allah kerana hanya Allah yang berkuasa memberi hidayah kepada sesiapa dikehendaki-Nya.
Nabi dan rasul, tugasnya menyampaikan kerana tidak ada siapa yang dapat memberi petunjuk melainkan Allah.
Firman Allah yang bermaksud:

“Tidaklah kamu diwajibkan (wahai Muhammad) menjadikan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk, (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk) akan tetapi Allah juga yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya). Dan apa juga harta halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri. Dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah. Dan apa juga yang kamu dermakan dari harta yang halal akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.” (Surah al-Baqarah, ayat 272)

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya, Tafsir al-Quran al-Azim ada menyebut sebab turunnya ayat kerana ada beberapa orang Islam yang bersedekah kepada fakir miskin penduduk Madinah, kemudian setelah ramai bilangan yang masuk Islam, maka Rasulullah SAW menegah memberi sedekah kepada orang musyrikin.
Tujuannya ialah untuk menarik mereka supaya menganut Islam kerana Rasulullah SAW sangat mengambil berat akan hal ehwal mereka. Lalu turunlah firman Allah yang memerintahkan Baginda supaya terus memberikan sedekah kepada mereka.

Biarpun hidayah menjadi milik mutlak Allah, namun umat Islam dituntut untuk menyampaikan dakwah Islam kepada bukan Islam supaya beriman kepada Allah. Dakwah yang baik dan berkesan hendaklah berpaksikan kepada tiga kaedah iaitu berdakwah secara hikmah atau bijaksana, memberi pengajaran atau contoh teladan baik dan bertukar fikiran atau berdialog dengan cara lebih baik.

Oleh itu, setiap Muslim perlu mempergiatkan usaha untuk berdakwah dan bersabar dalam menjalankan usaha dakwah Islamiah kepada bukan Islam supaya ia mencapai matlamat yang disasarkan iaitu keadilan Islam, keharmonian hidup serta kecemerlangan dalam hidup.

             Hidayah dan petunjuk Allah akan sentiasa mengiringi setiap langkah dan jalan diterokai orang beriman dan bertakwa kepada-Nya dalam rangka untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini.